PENDUDUK DI ARAH PINDAH
Tindakan rejim zionis menggugurkan risalah yang mengarahkan penduduk Palestin supaya meninggalkan rumah masing-masing, membayangkan yang ia tetap dengan keputusannya. Bagaimanapun ia bukan suatu perkara mudah bagi Israel kerana pejuang Hamas berikrar untuk syahid mempertahan wilayah Gaza daripada terus dicerobohi Yahudi.
Pemimpinnya yang dalam buangan Khalid Isham berkata, pejuangnya telah bersiap sedia untuk tujuan itu. Menurut sumber, terdapat lebih 25 ribu pejuang Hamas sedang berkawal dan memerhati pergerakan tentera musuh.
Dalam perkembangan berasingan, pejuang Hamas berjaya mengusir pasukan tentera khas Israel yang cuba menyusup masuk sempadan Gaza. Jurucakap briget, Izzudin al-Qasam berkata, pejuangnya mengesan sejumlah anggota pasukan khas itu yang cuba memasuki kawasan sempadan (Shujaieyah) di timur Gaza kira-kira 1 pagi waktu tempatan. Enam tembakan mortar dilepaskan ke arah pasukan Yahudi sebelum mereka berundur. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam pertempuran itu. Bagaimanapun ia dinafikan Tel Aviv.
----------------------
KEMATIAN KANAK-KANAK MENINGKAT
Di sebalik dalih yang serangan mensasarkan pejuang Hamas dan kepentingannya, orang awam tetap menjadi mangsa. Sehingga siang tadi, lebih 19 kanak-kanak dilaporkan terkorban. Dalam kejadian dekat Haniris selatan Semenanjung Gaza, lima kanak-kanak berusia 5-12 tahun terbunuh selepas tentera Yahudi menggugurkan roket. Ketika kejadian, mangsa dilapor sedang leka bermain di sebatang jalan raya. Serangan kali ini sekali lagi mensasarkan Jabalia di utara Gaza.
-----------------------
LAGI PEMIMPIN HAMAS TERKORBAN
Serangan udara tanpa henti rejim zionis juga menyaksikan seorang lagi pemimpin Briget al-Qasam gugur. Abu Zakaria meninggal dunia akibat kecederaan teruk ketika bedilan roket tentera rejim khamis lalu. Abu Zakaria juga dikenali sebagai Yahya Jamal adalah pemimpin kedua Hamas yang terbunuh sejak tentera Yahudi melancarkan operasi serangan udara ke atas Gaza minggu lalu.
Dakwa Bush, Hamas adalah pengganas yang mendapat sokongan Iran dan Syria dalam usaha memusnahkan Israel. Kenyataan Bush menerusi siaran radio ini yang pertama dibuat bersabit konflik terbaru di Asia Barat. Dalam ucapannya, Bush cuba mengalihkan tumpuan dengan mendakwa serangan mortar oleh Hamas dari Gaza ke atas kawasan Israel punca penduduk awam Palestin menjadi mangsa.
“Sebagai tindakbalas kepada serangan ke atas penduduknya, Israel melancarkan serangan operasi tentera terhadap kedudukan Hamas di Gaza. Hamas dalam strateginya, sedang berlindung di sebalik orang awam, menyebabkan penduduk Palestin berdepan risiko. Malang sekali, penduduk Palestin tebunuh sejak beberapa hari yang lalu.”
-Bush, Presiden Amerika Syarikat.
---------------------
KEGANASAN ISRAEL DIKECAM
Suara Bush bagaimanapun tidak mencerminkan keresahan sebenar penduduk Amerika. Di hadapan kedutaan Israel di Washington DC, ribuan aktivis berhimpun dan meluahkan kemarahan terhadap keganasan tentera rejim. Setelah berulang kali melaung akan kemerdekaan Palestin, kumpulan ini berarak ke kedutaan Mesir. Selaku orang tengah kepada konflik Israel-Palestin, juga pebalahan antara Hamas-Fatah, Mesir diselar kerana turut berperanan bersama Tel Aviv menutup sempadan Gaza. Perarakan bantahan ini digerakkan kumpulan yang dikenali sebagai
“ANSWER”, iaitu singkatan kepada
‘Act Now to Stop War and End Racism’ atau
‘Bertindak Sekarang Hentikan Peperangan dan Perkauman’. Selain di Amerika Syarikat, aktivis di negara-negara seluruh dunia melancarkan kempen mengutuk tindakan rejim dan mendesak Washington menilai semula hubungannya dengan Israel. Desakan itu ternyata tidak membuahkan hasil apabila Bush secara terang-terangan menyokong tindak-tanduk rejim.
Sumber: Buletin Utama 3 Januari
ADS HERE !!!