Sekurang-kurangnya 24 rakyat palestin dilaporkan terbunuh menjadikan angka korban meningkat menghampiri 500 orang.
Tentera darat Israel bersama kereta kebal mula memasuki bumi Gaza awal pagi tadi. Operasi ini disertai bedilan dan menyaksikan kawasan tempur dipenuhi asap. Tentera Israel mendakwa operasi ini hanya mensasarkan kumpulan pejuang Palestin. Pasukan perubatan Palestin di Gaza turut terperangkap dan terhalang daripada bergerak untuk memberi bantuan kepada mangsa. Jumlah kematian juga sukar dipastikan namun korban terbaru dilaporkan termasuk seorang budak perempuan berusia 12 tahun. Kanak-kanak malang itu terbunuh bersama empat lagi anggota keluarganya dalam serangan udara rejim di Beit Lahiya. Lapan lagi orang awam Palestin terbunuh akibat bedilan kereta kebal juga di Beit Lahiya. Menurut kenyataan PBB sehingga kini lebih 100 orang awam antara yang terkorban.
Krisis kemanusiaan di Gaza yang sedia tenat akibat sekatan rejim kian kritikal ekoran operasi serangan sejak minggu lalu. Ribuan penduduk Palestin terpaksa menyabung nyawa melarikan diri ke sempadan untuk ke negara-negara jiran Arab.
---------------------
WASHINGTON TUNJUK TARING
Amerika Syarikat dalam pada itu cuba menunjukkan taringnya. Ketika Majlis Keselamatan mencari kesepakatan bagi meluluskan kenyataan antara Israel dan Hamas akur kepada genjatan senjata, Washington menyuarakan bantahan.
Majlis Keselamatan PBB semalam mengadakan sidang tergempar dalam usaha mencari penyelesaian ke atas konflik di Gaza. Dunia Arab menuntut agar ketetapan diputuskan ke arah genjatan senjata susulan operasi..
“Pendirian kami tegas. Hamas telah melakukan pencabulan dan telah melakukannya sejak resolusi 1850 diambil, juga setelah kenyataan diputuskan minggu lalu. Kami tidak melihat prospek Hamas akan akur dengan peraturan ini. Mengeluarkan ketetapan baru tidak akan membawa makna dan tidak akan membawa kejayaan buat pihak Majlis.”
- Alejandro D. Wolff, Timbalan Duta Amerika ke PBB
Presiden Majlis yang juga Duta Perancis ke PBB, Jean-Maurice Ripert berkata buat masa ini tiada persetujuan rasmi dibuat mengenai ketetapan baru itu biar pun di kalangan 15 anggota Majlis menyuarakan kebimbangan dengan situasi di Gaza.
“Adalah jelas terdapat kesepakatan di kalangan anggota majlis yang mengambil berat akan keganasan dan kemusnahan di Gaza dan selatan Israel. Semua pihak serius untuk menggesa ke arah genjatan senjata serta-merta yang kekal dan dihormati."
-Jean-Maurice Ripert, Presiden Majlis Keselamatan
----------------------
MAJLIS KESELAMATAN DISELAR
Kegagalan Majlis Keselamatan PBB memainkan peranan dalam menghentikan keganasan Israel turut menjadi sasaran kepada banyak pihak.
“Majlis Keselamatan tidak seharusnya duduk diam tanpa memaksa Israel akur dengan ketetapan yang diputuskan. Kini masuk minggu kedua pencerobohan, namun belum ada usaha Majlis Keselamatan ke atas Israel. Majlis Keselamatan harus memaksa Israel akur kepada ketetapan dan menghentikan keganasan dengan segera."
- Riyad Mansour, Duta Palestin ke PBB
Riyad Mansour, Duta Palestin ke PBB juga berkata kerakusan yang diperlihatkan tentera rejim telah melumpuhkan usaha rundingan politik dan memusnahkan tidak hanya rantau Asia Barat malah dunia Arab.
“Kami mahu tindakan ketenteraan termasuk bedilan roket, harus dihentikan. Seharusnya ada kawalan. Israel tidak boleh sewenang-wenang bertindak tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa. Ini perlakuan di hutan (ia seolah-olah tidak bertamadun). Israel harus akur dengan norma undang-undang antarabangsa.”
- Riyad Mansour, Duta Palestin ke PBB
Kelemahan Majlis Keselamatan turut dibidas Ketua Perhimpunan Agung PBB, Miguel D’Escoto. Sepanjang tempoh keganasan Israel, D’Escoto yang juga Paderi Roman-Katolik dari Nicaragua tidak henti-henti mengutuk sikap biadab rejim.
“Saya berpendapat ia sesuatu yang melampau, sukar untuk menyatakannya. Lebih teruk lagi, buat sekian kali dunia menyaksikan kegagalan fungsi Majlis Keselamatan. Ini disebabkan terdapat ahli Majlis Keselamatan yang melindungi kepentingan politik mereka. Ini amat memalukan, sedangkan banyak mangsa sedang dibunuh.”
-Miguel D’Escoto, Ketua Perhimpunan Agung PBB
Pencerobohan terbaru tentera Yahudi menambahkan lagi kemarahan masyarakat antarabangsa. Di Tebing Barat penduduk Palestin keluar beramai-ramai membantah pembunuhan terbuka yang dilakukan rejim zionis ke atas saudara mereka di Gaza. Sambil membawa bendera Palestin mereka melaungkan sokongan terhadap mangsa serangan Yahudi. Bagi tujuan yang sama di Jakarta, Indonesia, ribuan penduduk Islam turut menunjuk perasaan di jalan-jalan utama bandaraya itu. Ia turut disertai wanita dan kanak-kanak. Di London, lebih 5 ribu berarak dan mengadakan bantahan di hadapan kedutaan Israel. Kemarahan akibat kekejaman rejim zionis yang menyebabkan segelintir penunjuk perasaan cuba merempuh sekatan yang dibuat pihak berkuasa bagi menghalang mereka daripada menghampiri kawasan kedutaan. Bagaimanapun, ia kemudian berjaya disuraikan secara aman.
-----------------------
PENENTU KESINAMBUNGAN BANGSA PALESTIN
… meskipun kekurangan tetapi ia bukanlah ukuran sebenar kekuatan. Bagi pejuang Hamas, pertempuran kali ini akan menjadi penentu kesinambungan bangsa Palestin.
Analisanya bersama Razali Awang:
Sejak 27 Disember lalu rejim zionis melancarkan lebih 750 serangan ke atas Gaza. Bagaimanapun ia gagal melemahkan penentangan pejuang Hamas yang terus bertindak melancarkan serangan ke atas wilayah Israel. Bagi penduduk Palestin di kawasan ini, kezaliman berpanjangan Yahudi sejak 60 tahun lalu menyuntik semangat jihad.
“Bagi mereka soal menang soal kalah itu bukan isu. Bagi mereka, mereka yakin, mereka kalah di dunia mereka menang di akhirat, itu pegangan mereka. Itu pegangan Hamas. Oleh itu mereka tidak takut untuk mati.”
-Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman, Pakar Timur Tengah.
Bagi menghadapi kekuatan yang jauh berkali ganda lebih kuat, Hamas menggunakan strategi sebagaimana pejuang Hizbullah di selatan Lubnan.
Berbeza dengan pertempuran terbuka, kawasan padat dengan penduduk dan kedudukan bangunan yang berselirat, penentangan ke atas pencerobohan Yahudi akan dilakukan dalam kumpulan yang kecil. Apapun, jika Israel merasakan operasi terbarunya mampu menumpaskan tentangan pejuang Hamas, ia satu andaian yang silap. Nyata, rakyat Palestin samada di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat, penentangan Hamas menyuntik semangat, setelah cuak dengan kepimpinan Presiden Mahmoud Abbas yang selama ini menjadi boneka zionis.
“Sebagai pemimpin tertinggi Fatah, harus mencerminkan dirinya. Apa yang berlaku di Tebing Barat, berapa banyak roket yang dilancar di Tebing Barat; tidak satu roket pun dilancarkan dari Tebing Barat. Tetapi pada hari ini, hampir setiap hari kadang-kadang setiap minggu berlaku pembunuhan. Sekatan masih dikenakan. Oleh itu, alasan pelancar roket ini bukan alasan untuk melakukan serangan tetapi sebagai alasan untuk terus menjadikan rakyat Palestin ini sebagai hamba. "
-Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman, Pakar Timur Tengah.
Sumber: Buletin Utama, 4 Januari