MASA DEPAN GELAP JIKA GAGAL DIBANTU
Nasib mereka kini begitu samar. Derita kanak-kanak Palestin selepas pencerobohan rejim zionis di Gaza tempohari perlu ditangani segera. Paling penting kesan psikologi dan trauma yang boleh menjejaskan masa depan mereka jika tidak dirawat dengan sebaik mungkin. Menyedari keutamaan itu, PBB menghantar wakilnya ke wilayah Palestin itu.
“Saya mahu keluarga saya semula, bapa, abang saya lebih daripada segala-galanya. Bapa saudara, ibu saudara dan sepupu saya semua terkorban. Saya juga mahu rumah saya semula.”
-Suhaib Al-Samuni, 8 tahun.
“Saya harap saya hidup aman tanpa bom dan serangan, seperti kanak-kanak lain yang hidup aman damai."
-Kanan Al-Samuni, 12 tahun
Itu rintihan mangsa-mangsa kecil ketika menerima kunjungan wakil khas setiausaha agung bagi kanak-kanak dan konflik bersenjata, Radhika Kumaraswamy. Sesi luahan hati mangsa kecil itu dianjurkan UNICEFF dengan kerjasama pusat untuk demokrasi dan penyelesaian konflik Palestin. Kumaraswamy dalam rangka 4 hari lawatan ke Gaza dan selatan Israel bagi mengkaji kesan konflik terbaru ke atas kanak-kanak. Yang pasti, Kumaraswami sedia maklum mangsa kecil ini perlu dipertemukan secepat mungkin dengan agensi kemanusiaan. Kemusnahan besar rumah, hospital dan sekolah serta kemudahan asas yang lain turut memberi kesan buruk kepada kanak-kanak.
Menurut statistik PBB, hampir 1/3 daripada 1380 rakyat Palestin yang maut adalah kanak-kanak dan kebanyakan kanak-kanak terbabit menjadi saksi kekejaman rejim zionis ke atas ahli keluarga mereka.
“Ibu, adik beradik lelaki dan anak saudara saya mati di depan mata saya. Saya tidak dapat menyelamatkan mereka. Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya menderita setiap hari bila terkenang semua ini. Saya tidak boleh melupakannya. Amat sukar untuk saya, amat mengejutkan.”
-Almaza Hilmi Al-Samuni, 13 tahun
Kanak-kanak di Gaza memerlukan bantuan segera termasuk memulihkan kemudahan asas dan mendirikan semula sekolah dan hospital. UNICEFF memohon perbelanjaan berjumlah 34.5 juta dollar Amerika untuk perlindungan kanak-kanak, psiko-sosial dan projek pendidikan. Wang terbabit juga akan digunakan untuk projek sanitasi dan kesihatan.
Sumber: Buletin Utama 6 Feb
ADS HERE !!!