TAJUK BUKU: PERSEDIAAN DI HARI KEMATIAN DAN PENGADILAN DI HARI KEBANGKITAN
Oleh Abdul Aziz Ismail
Melihat kepada persoalan hidup dinihari, telah kusedari hakikat kebenaran kata-kata Nabi akhir zaman Muhammad SAW 1430 tahun lalu.
"Ketika itu kamu akan lihat kebanyakan manusia cinta dunia dan takut mati."
Maksud hadis.
Demikianlah kenyataan Rasulullah SAW terhadap umat dinihari yang bagaikan hidup ditakuti oleh bayang-bayangnya sendiri. Membawa dunia dan seisinya, adab dan gaya hidup jauh dari pegangan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Persediaan untuk hari kematian tidak dihiraukan, seolah-olah hidup ini bagaikan menongkat langit berkurun-kurun lamanya.
Hati ini sekali lagi dihiris kesedihan. Apakah ini dasar hidup manusia di akhir zaman ? Kedurjanaan, kerakusan, keakuan dan lain-lain sifat hati yang mazmumah menjadi pakaian manusia menyebabkan alpa terhadap hari kematiannya, apatah lagi untuk berusaha menghampirkan diri kepada Allah SWT masih jauh lagi.
Alhamdulillah , aku memanjatkan jutaan kesyukuran yang tiada batasnya ke hadrat Allah SWT kerana memberi aku sedetik waktu ini untuk berbicara dan mengoreksi diri yang berdosa ini.
Dosa yang lahir dan batin, dosa kepada makhluk dan dosa kepada Allah SWT itu semua pasti diperhitungkan di yamumil mahsyar di hadapan Allah Azza wa Jalla.
Aku bertanya kepada diriku. Dan tanyalah kepada diri anda pembaca budiman. Sudahkah kita bersedia untuk menghadapi hari kematian yang kita tidak pasti bila ia datang mengundang?
Kenapakah ini wajar dipersoalkan? Adakah lebih baik kita persoalkan masalah yang lebih besar dan rumit?
Pertanyaan itu memang benar, tetapi apakah kita tidak tahu kekalutan dunia dan krisis nilai dan budi hingga kita lupa kepada hari kematian dan hari kebangkitan yang pasti berlaku. Kita lupa pada hari itulah sifat mazmumah yang tidak diperangi itu terus menerus menguasai hati dan jasad kita untuk diperhatikan dalam memburu dunia yang sementara ini.
Peringatan Rasulullah saw kepada kita:
"Ingatlah mati kerana ia menghilangkan kesesatan kaum terhadap dunia."
Maksud hadis.
Jadi apabila penawar ini tiada menjadi bahan fikiran dan tindakan, maka dunia adalah menjadi matlamat hidup.
Halal dan haram dalam segala tidak diperhitungkan, asalkan kekayaan dan keseronokan itu tercapai dan dapat dimiliki.
Bahayanya akan lebih besar menimpa kita yang tahu hakikat kematian dan kehidupan di sisi Allah. Janganlah sikap keterlaluan itu menyebabkan kita sengsara dan mengundang azab Allah SWT di dunia lagi sebelum disumbatkan ke dalam neraka yang maha ngeri dan mengazabkan. (Nauzubillah)
Sesungguhnya pesanan dan pengajaran di dalam buku yang tidak sepertinya ini dapat memberi petunjuk terutama pada diri saya dan para pembaca budiman semoga menjadi insan yang mensucikan diri dari segala kedurjanaan sebelum kematian mengundang dan sebelum kita dibangkitkan kelak.
Sekian, Wassalam.
Ditulis oleh Abdul Aziz Ismail pada 12 Zulkaedah 1412
Kuala Lumpur.
Doa dalam buku:
"Ya Allah Pencipta langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang terang, Yang Maha Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.
Sesungguhnya aku mengamanatkan janji kepadaMu di dalam kehidupan di dunia ini, dan aku saksikan kepadaMu, Ya Allah, cukuplah Engkau sebagai saksi: Bahawa sesungguhnya aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagiMu. Dan bahawa sesungguhnya janjiMu adalah haq. BertemuMu juga adalah haq. Syurga yang tersedia untuk hambaMu yang patuh juga adalah haq. Neraka yang akan membakar orang-orang kafir dan ingkar kepadaMu, pasti nyata. Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti akan tiba dan tidak diragukan lagi. Dan Engkau akan membangkitkan semua orang yang di liang kubur.
Sesungguhnya jika Engkau menyerahkan jiwaku kepadaku, bererti Engkau menyerahkannya kepada yang lemah, yang cela dan yang berdosa dan yang keluputan. Padahal aku tidak mempunyai kekuatan, kecuali dengan curahan rahmatMu. Kerana itu ampunilah dosa-dosaku semuanya, dan terimalah taubatku.
Sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
ADS HERE !!!