Kurang sejam sebelum masuk tahun baru 2009.
Hajat nak check offline message, sebelum sambung tengok Tv semula. Dah ngantuk, tapi tersenyum juga bila tengok salah seorang kawan lama chatroom bubuh ayat begini, hihihi..
Tak sangka dia yang dolu-dolu suka gelak golek-golek kat dalam room buat bising, perasan akan perkara ini dan menunjukkan reaksinya secara terus di situ.
Beginilah segelintir keadaan kita sekarang, perkara-perkara kecil yang kita selalu terabaikan, malah tidak mahu ambil tahu langsung akan kebenaran dan kepentingannya telah mengakibatkan pemahaman kita beransur-ansur kurang, hanya disebabkan ia kelihatan di tepi, kurang diutamakan dalam penelitian dan pendedahan akan kegunaannya dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia khususnya pada SEBILANGAN pemuda pemudi Islam hari ini.
Ianya benar. Setiap kali diajukan pertanyaan sekarang ini berapa haribulan hijrahnya, sudah masuk bulan Muharram atau belum? Terkial-kial mencari kalendar bulan Islam. Doa awal dan akhir tahun? Ada ke? Bila? Dan setiap kali itu jugalah jawapannya kerap kali sama, tak pun lebih kurang; "Doa?" "Muharram?" "Err...bila ek?" "Entahlah, tapi yang aku tahu hari ni 31 Disember...malam ni lah orang berkumpul celebrate tahun baru.."
Nak membebel sekarang tak guna jugak, sekiranya kita tidak berusaha membaiki kekurangan dan kelemahan diri kita sendiri. Marilah kita sama-sama berdoa;
"Ya Allah, tunjukilah aku kepada sebaik-baik pengetahuan, perbuatan dan budi pekerti, yang tiada seorang pun dapat menunjukkannya selain Engkau. Dan jauhkanlah aku daripada keburukannya, yang tiada seorang pun dapat menjauhkannya selain Engkau Ya Allah. Aminn."
Jom kita belajar.
------------------------------------------------------------------------------------------
TAHUKAH KITA PERBEZAAN ANTARA HIJRI-MASIHI ?
Antara tahun Hijrah dan tahun Masihi, sebenarnya perbezaan jarak antara tahun Masihi dan Hijrah ialah 622 tahun dan sebenarnya kalau kita berada dalam tahun Hijrah, hakikat sebenarnya ialah kita berada selama 354 hari 8 jam 48 minit dan 36 saat. Dan kalau kita berada tahun Masihi atau pun tahun 2008, 2009 atau tahun yang seterusnya sebenarnya bila di tahun Masihi kita berada 365 hari 6 jam 9minit dan 9.5 saat. Itu fakta dan hakikatnya berkenaan Hijri dan Masihi.
Kalau kita sebut tentang Masihi, tentang Hijri, kita tahu bahawa bila sebut Hijri ia ada sempenanya, iaitu sempena peristiwa Hijrah Nabi kita Muhammad SAW.
Masihi ialah peristiwa lahirnya seorang Nabi, seorang Rasul pilihan Allah, Nabi Isa a’laihi-salam(a.s), satu kelahiran yang sangat luar biasa.
Tetapi selain daripada kita mengetahui istilah Masihi-Hijri, barangkali kita nak ketahui juga rentetan sejarah yang boleh kita pelajari, yang boleh kita fahami, yang boleh kita amati supaya kita bukan sekadar mengira masa, tetapi bagaimana masa itu kita gunakan di dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT.
-------------------
“Kita dapat menghitung segala-galanya perjalanan hidup kita ini apabila ada taqwim. Apabila ada pengiraan harinya, bulan dan tahun. Sebenarnya apabila kita melihat kepada sejarah, antara taqwim Masihi dan Hijri, sudah tentulah taqwim Masihi ini mendahului taqwim Hijri.
Taqwim Masihi bermula setelah kelahiran Nabi Allah Isa alaihi-salam, Nabi Isa al-Masih. Sebab itu perkataan itu diambil menjadi Masihi. Ada perbedaan pandangan dan berpendapat, ada yang menyatakan seminggu selepas kelahiran Nabi Isa alaihi-salam, ada juga yang menyatakan selepas setahun, dijadikan peristiwa besar yang luar biasa kelahiran Nabi Isa alaihi-salam yang tidak sama dengan kelahiran kita. Kita lahir masing-masing punya ayah punya ibu, tetapi kelahiran Nabi Isa alaihi-salam, dia hanyalah dilahirkan oleh ibunya, Maryam ,seorang ahli abid-billah; ahli ibadat. Cuma antara sebab ibu Nabi Allah Isa ini hamil, diriwayatkan Allah mengutuskan malaikat Jibril meniup daripada tengkuk Siti Maryam sehinggalah ke bawah sehinggalah akhirnya dia merasakan dia hamil dan dia melahirkan anak.
Jadi peristiwa ini luar biasa. Orang dulu-dulu sering menjadikan peristiwa-peristiwa pelik ini sesuatu yang besar, dijadikan sesuatu tanda ingatan . Maka di sana telah bermulalah kiraan tahun yang pertama, iaitu 1 Januari tahun Masihi, iaitu seminggu selepas kelahiran Nabi Isa alaihi-salam, dan ada yang mengatakan setahun selepas kelahiran.
Kemudian kalendar ini berjalan. Sampailah pula pada suatu masa, satu tahun iaitu pada 24 Februari 1582 Masihi, seorang pendita ataupun seorang paderi bernama Pope Geogry ke-13 telah pun bersetuju supaya diubahsuai antara kalendar Juliet/Rom dan juga Geogrian ini supaya diperbaharui dan diubahsuai. Maka jadilah sehingga sekarang.
Sejarah Hijrah pula, apabila masyarakat Arab sudah mempunyai nama-nama bulan tetapi tahunnya tidak ada angka pada waktu itu. Cuma mereka ambil menentukan tahun itu juga mengikut peristiwa besar yang berlaku. Kalaulah umpamanya tahun Gajah, maka kelahiran Nabi dikira dalam Tahun Gajah. Sebab waktu itu berlaku peristiwa meruntuhkan Kaabah (oleh tentera bergajah Abrahah yang cuba menakluk Kota Suci Makkah)
Keadaan ini (perkiraan tahun mengikut peristiwa besar) berjalan sehinggalah beberapa lama. Saiyidina Umar al-Khatab melihat bahawasanya perlu diletakkan satu panduan tahun, untuk menentukan angka tahun bagi tahun Hijrah ini. Maka Saiyidina Umar mengumpul para sahabat untuk membuat penetapan manakah tahun yang dijadikan tahun permulaan Hijrah. Maka dalam banyak pandangan, Saiyidina Umar pilih pandangan Saiyidina Ali bin Abi Talib dengan menjadikan Hijrah Nabi dari Makkah ke Madinah itu menjadi tahun pertama Hijrah; dengan dimulai bulan Muharram sebagaimana pandangan Saiyidina Uthman ibnu Affan dan itulah bermulanya permulaan taqwim Hijrah kita umat Islam. Wallahu a’lam.
”
–
Ustaz Roslan Che Ros, Penang.
------------------------------------------------------------------------------------------
TAHUKAH ANDA FAKTA SEJARAH HIJRAH ?
Hijrah Nabi Muhammad, Rasulullah saw berlaku pada akhir bulan Safar.
Kemudian baginda Rasulullah saw sampai ke pinggir Bandar Madinah pada hari Isnin bulan Rabiulawal tetapi Rasulullah saw masuk ke dalam Kota Madinah hari Jumaat 12 Rabiulawal.
Jadi, mengapakah kita kira 1 Muharram itu detik tahun baru Hijrah kita, sedangkan hijrah Rasul bukannya berlaku pada bulan Muharram?
“Benar, sebenarnya sekiranya kita melihat pada fakta sejarah hijrah Rasulullah saw meninggalkan rumah baginda. Menurut fakta sejarah sebahagiannya menyebut pada malam 27 bulan Safar iaitu tahun ke-14 daripada kebangkitan Rasulullah saw iaitu disebut pada tahun 622 Masihi. Kemudian 17 tahun selepas hijrah baginda saw, barulah Saiyidina Umar dan para sahabat membincangkan tentang mewujudkan satu Taqwim Islam. Dan salah satu pandangan iaitu daripada Saiyidina Uthman ibnu Affan iaitulah mengambil bulan Muharram itu sebagai detik awal taqwim itu; dan peristiwa yang diambil bukan Isra’ Mikraj, bukan kelahiran Rasulullah, bukan perang Badar dan sebagainya tetapi adalah kejayaan Rasulullah saw dan para sahabat berhijrah dari Kota Makkah ke Madinah.
Muharram adalah salah satu daripada bulan yang dihormati daripada empat bulan yang kita baca dalam Surah At-Taubah ayat 36.
Maksud ayat Surah At-Taubah, ayat 36:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Allah menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati,. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati (dengan melanggar laranganNya), dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”
Bahkan disebut di dalam hadis Rasulullah saw antara bulan yang paling baik dilakukan puasa selepas daripada puasa di bulan Ramadhan, adalah puasa di dalam bulan Muharram. Jadi yang penting adalah untuk kita ambil iktibar sempena kita berada dalam bulan Muharram ini ialah peristiwa hijrah Rasulullah saw. Itu yang sangat penting untuk kita ambil iktibar. Tiada guna untuk bercerita tentang Awal Muharram itu sekiranya kita tidak mengambil apa-apa iktibar daripada hijrah itu. Kalaulah kejayaan hijrah Rasulullah saw itu menjadi detik yang diambil oleh Saiyidina Umar, menolak ke tepi pelbagai peristiwa-peristiwa hebat yang lain, ialah kerana peristiwa hijrah itu bukan sekadar antara Rasulullah saw dan Allah SWT, tetapi bagaimana Rasulullah membentuk hubungan sesama manusia, bagaimana Rasulullah membentuk kehidupan di Kota Madinah. Bukan mereka tidak sayang Makkah yang mereka tinggalkan, tempat tumpah darah, kelahiran, tempat mula kumpul harta, itulah tempat duduk mereka, tetapi kerana mereka nampak apa masa depan umat Islam. Mereka melihat apa akan jadi kepada umat Islam pada masa akan datang. Mereka melihat bagaimana keadaan kedudukan masyarakat Islam sekiranya tidak berhijrah. Maka dengan itulah , hijrah itu dilakukan oleh Rasulullah saw. Berbekalkan keimanan dan ketaqwaan, berbekalkan kesungguhan pengorbanan yang tinggi, yang Allah gambarkan dalam Surah At-Taubah ayat 100.
Iaitu bagaimana Allah menggambarkan Allah SWT meredhai orang-orang terdahulu iaitu orang-orang yang berhijrah, orang-orang Ansar yang memberi bantuan, dari kalangan Muhajirin dan Ansar itu, yang orang-orang ini mengikut dari sudut keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, yang Allah redha mereka dan mereka juga redha kepada Allah SWT.
Jadi, satu pokoknya kalau Nabi berhijrah kerana ketaqwaan kepada Allah SWT, kita pun baliklah meneliti diri kita sendiri:
Sejauh mana dah iman aku? Umur aku bertambah dah ni..
Umur tak menurun. Bila masuk tahun baru, maknanya umur bertambah. Orang putih kata, ‘Everything that goes up must go down, except your age.’ So, benda yang naik ke atas graviti mesti turun, tapi umur tak turun. Umur kita bertambah.
Nabi berhijrah kerana iman, kerana taqwa. Kita orang Islam, tambah tak iman? Tambah tak taqwa? Tengok dalam keluarga, jangan sampai anak-anak kita ada yang kata apa salahnya minum sikit-sikit kenapa tak boleh? Pegang sikit-sikit kenapa tak boleh? Benda-benda macam inilah yang boleh menggugat ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah SWT. Jangan ada lagi ajaran-ajaran sesat, dan sebagainya atau yang seumpama dengannya.
Itulah Awal Muharram kita, nak bina keimanan dan ketaqwaan sebagai asas pokok kita di awal tahun ini.”
-Dr. Syarifah Hayati, UM
Sumber:
Halaqah- Episod 50, Hijri-Masihi
http://www.tv9.com.my/Shows/Episodes.aspx?MenuID=2&MasterID=66&ShowID=311&TemplateID=2&EpID=16817&VideoID=13520