Hospital Shifa, terbesar di Gaza namun masih tidak mampu menampung jumlah mangsa perang yang setiap detik bertambah. Memburukkan keadaan, sistem janakuasa sokongan sentiasa tergendala dan ini mengganggu penggunaan mesin rawatan. Masalah ini paling ketara di wad bersalin di mana bayi kelahiran pra-matang bergantung kepada penggunaan inkubator.
“Keluarga mangsa, semuanya tinggal di zon perang dan kami tidak mempunyai inkubator untuk mereka. Kami juga kekurangan perubatan, makanan dan adakalanya bekalan elektrik terputus. Semua peralatan di sini bergantung kepada elektrik.”
-Dr. Radwan Hasduna, Hospital Shifa.
Akibat jumlah mangsa perang yang melimpah, pihak hospital terpaksa mengguna apa jua ruang yang ada, termasuk di lorong-lorong laluan bagi kerja-kerja rawatan. Di bilik mayat, jenazah mangsa serangan dibiar bergelimpangan di atas lantai. Doktor dan jururawat pula terpaksa bekerja tanpa banyak rehat.
KEBIADABAN ISRAEL TERBONGKAR
Satu lagi kebiadaban Israel terbongkar. Operasi penghancuran Gaza dilapor turut membabitkan penggunaan bom fosforus di kawasan padat penduduk. Yang ternyata menyalahi undang-undang antarabangsa.
Penggunaan unsur bukan logam mudah terbakar ini jika terkena pada bahagian kulit manusia boleh menyebabkan kecederaan teruk.
“Fosforus adalah senjata yang diguna Israel ketika perang Lubnan 2006, terutama semasa hari ke-4 serangan ke atas penduduk Lubnan. Ini berlaku di daerah Marwaheen. Dua trak sarat dengan wanita dan kanak-kanak diserang dengan bom fosforus, enam kilometer dari perkampungan mereka. Semua mangsa hangus terbakar, malah bahagian logam trak turut cair.”
-Dr. Mustapha Jradi, Ketua Unit Bedah Hospital Tyre
Tidak hanya bukti visual dan foto yang disiarkan media, pendedahan penganalisis perang turut mengaitkannya sebagai taktik sama yang diguna sekutu Israel, Amerika Syarikat dalam Perang Iraq.
“Masalahnya apabila digunakan sebagai senjata. Contohnya di Falujjah, Iraq, Amerika Syarikat mengguna apa yang dipanggil taktik ‘goncang dan bakar’, iaitu membedil fosforus di kawasan musuh untuk mengusir mereka keluar dari bangunan yang terbakar, kemudiannya membunuh mereka di kawasan terbuka.”
-Marc Garlasco, Human Rights Watch
Israel secara terang-terangan menafikan penggunaan senjata merbahaya dan mendakwa penggunaan fosforus dan bom berangkai tidak menyalahi undang-undang antarabangsa. Jurucakap tentera Israel, malah berkata apa yang diamalkan rejim adalah seperti mana dilakukan tentera lain, termasuk dari Negara-negara Barat.
------------------------------------------------------------------------------------------
OBAMA JANJI PENYELESAIAN SEGERA
“Sememangnya, saya mengambil berat akan konflik di sana. Saya dimaklumkan sepenuhnya dan memantau situasi dari semasa ke semasa. Kehilangan nyawa di Gaza dan Israel adalah tumpuan utama saya dan selepas 20 Januari, akan ada banyak perkara saya perkatakan mengenai isu ini.”
-Barack Obama, Bakal Presiden Amerika Syarikat
Kenyataan Obama dibuat ketika Amerika Syarikat dan lain-lain Negara masih tercari-cari akan penyelesaian segera. PBB pula merasa tersentak susulan berita letupan berhampiran sekolah pertubuhan dunia itu yang mengorbankan banyak nyawa.
“Serangan oleh tentera Israel adalah ancaman terhadap kemudahan PBB, yang menjadi tempat perlindungan dan ini sesuatu yang tidak boleh diterima. Ia tidak harus berulang. Juga tidak boleh diterima, tindakan pejuang Hamas yang boleh membahayakan penduduk Palestin.”
-Ban Ki Moon, Setiausaha Agung PBB
Dan ketika semua pihak cuba mencari penyelesaian konflik, Setiausaha Luar Britain David Miliband membangkitkan soal siapa sebenarnya bertanggungjawab membiarkan perbalahan ini berlanjutan.
“Krisis di Gaza adalah bukti kegagalan semua pihak, semua daripada kita, dalam tempoh yang lama tidak membawa penyelesaian kepada kedua-dua pihak, ke arah keselamatan dan keadilan buat kedua-dua Israel serta Palestin.”
-David Miliband, Setiausaha Luar Britain
Sumber: Buletin Utama, 7 Januari