Last berita yang ditaip hari tu 11hb. Hari ini 18hb, telah masuk hari ke 23 serangan Israel ke atas Gaza. Hm... Seminggu tidak menaip di sini, kelihatan jelas perubahan mendadak akan jumlah kematian dan kecederaan rakyat Palestin melonjak ke angka 5320 orang dengan kematian menjangkau 1300 orang. Sejak serangan tentera Israel dari 4 arah, situasi kian meruncing di Gaza. Menurut Naseer al-Najjar, wartawan bebas di Gaza:
"Tentera Israel menyerang Gaza City dari empat arah. Pejuang Hamas hanya menyerang dari sempadan dan melancarkan roket. Kira-kira 30 000 keluarga kehilangan tempat tinggal, 50 000 keluarga lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka ke tempat yang lebih selamat. Bekalan elektrik telah terputus selama 15 hari*. Penduduk kini dilanda krisis mendapatkan air minuman.”
*ringkasan maklumat pada 14 Januari lalu.
--------------------
Bercakap nasib Palestin, mungkin ada yang tanya sampai bila perlu tunjuk perasaan, boikot, mahupun persidangan PBB. Genjatan senjata juga tidak ke mana, sedangkan faktanya masalah Palestin bukan baru dibangkit. Tiada penyelesaian sejak lebih 6 dekad lalu.
Izwan Azir Salleh ada laporannya:
PAKATAN TENTERA NEGARA ISLAM?
Jika rantau Atlantik Utara diserang, pakatan tenteranya dikenali ‘NATO’ tidak akan tunggu lama untuk bertindak. Namun berbeza dengan Gaza. Melihat situasi terkini, timbul saranan ‘kekerasan dibalas kekerasan’. Ideanya, negara Islam tubuhkan pakatan ketenteraan bagi membela nasib rakyat Palestin. Dan jikapun idea itu diketengahkan, bagaimana pula sambutan Negara Islam lain?
Bagi dua penganalisis politik ini, lebih selesa berpijak di bumi realiti. Ini kerana hari ke 21 peperangan, sengketa sesama pemimpin Arab sendiri terus menyakitkan hati umat Islam. Qatar dan Arab Saudi sebagai contoh, berebut untuk menganjurkan sidang tergempar. Mesir pula dengan keras kepalanya, enggan buka pintu sempadan bagi membenarkan penduduk Gaza menyelamatkan diri.
“Ertinya, bagi Negara-negara muslim termasuk negara-negara Arab sendiri amatlah sukar berdasarkan kekangan ini, untuk bersatu, menentang yahudi ataupun Israel, apatah lagi untuk mewujudkan pakatan tentera ala NATO. Jadi apa yang mereka boleh lakukan ialah sekadar menyalurkan bantuan.”
-Prof. Datuk Dr. Mohd Abu Bakar, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM
Justeru, apakah idea pakatan tentera Islam ini akan berkubur kerana masalah perpaduan ummah?
Bagi seorang lagi penganalisis, ketenteraan tidak banyak menyelesaikan masalah. Sebaliknya, perlu ada langkah konkrit untuk membenam keangkuhan rejim zionis yang bertunjang sokongan Barat.
“Orang Islam mempunyai banyak kelebihan dan peluang dan mereka sepatutnya memaksimumkan kelebihan ini. Minyak dalam penguasaan kita begitu juga dengan sumber alam lain, jadi mereka boleh menggunakannya sebagai “kuasa” terhadap Negara lain dan mereka perlulah serius dan jujur dalam hubungan dengan kuasa Barat."
-Dr. Wahibuddin Ra’ees, Ketua Jabatan Sains Politik UIAM
Selain itu, pasukan ketenteraan Negara Islam sukar diwujudkan.
“Negara-negara muslim tidaklah berada di dalam lokasi geografi yang sama sehingga membolehkan mereka ini berinteraksi secara mudah, secara intim. Dan kedua, sesetengah daripada Negara ini tidak mengalami sejarah yang serupa apatah lagi mereka juga mempunyai komitmen politik yang juga berbeza, sehingga dasar luar negara-negara muslim ini pada umumnya berbeza antara satu dengan yang lain.”
- Prof. Datuk Dr. Mohd Abu Bakar, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM
Dalam kesedihan melihat kesengsaraan Gaza, ramai berdoa mohon campurtangan langit, bala ke atas Israel tetapi ramai yang terlupa, Allah telah berfirman,
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”
(Surah Ar-Rad : 11)
Sewajarnya ia perlu difikirkan negara Arab yang sibuk bercakaran, jika mahu bumi Palestin aman.
Oleh Izwan Azir Salleh.
Sumber: Buletin Utama 18 Januari
------------------------------------------------------------------------------------------
P/s: Situasi terkini di Gaza memang tersangat perit dan menyedihkan. Kita yang duduk tengok depan Tv pun kerut² melintang garis di dahi nengoknya, inikan pula saudara kita yang berusaha untuk menyelamatkan diri setiap minit, setiap jam, agar dapat meneruskan hidup semampunya di sana. Yang terselamat setakat ini belum tentu hujung nasibnya. Kekejaman Israel memang sedari dulu lagi. Kemajuan dari segi penggunaan alat² ketenteraan tak pernah kurang dipersembahkan pada dunia. Pistol, senapang, submesingan, raifal/karbin, sniper rifles, mesingan, grened, bahan letupan, sebut saja.. tak ada yang lupa nak dibawanya. Pesawat pengintip tanpa pilot. Kapal tu kapal ni. Siap bahan kimia lagi. Tang kaedah dan aplikasi alat itu saya tak pandai ulas. Saya bukan ahli. Saya tidak tahu. Yang saya tahu, bagi mereka, misi dan nyawa manusia di Palestin dan beberapa negara Islam sebelum ini harus digempur seperti latihan tempur biasa. Malah harus lebih giat lagi. Kononnya nak mempertahankan Israel, menghapuskan 'pengganas' dan 'keganasan dunia', tapi aksesori yang keluar berupa senjata yang tidak pernah dicuba sebelumnya pada manusia. Macam yang Amerika Syarikat wat kat Afghanistan ngan Iraq dulu. Peralatan canggih macamla nak turun ke planet lain, seakan-akan sedang menyerang makhluk asing. Dalam akal fikiran mereka ni sudah tiada lagi unsur rasa belas akan jiwa dan nyawa manusia. Dah imun. Di set. Dah namanya tentera zionis ini, memang sah dia akan buat-buat tak nampak apa yang ditembaknya, tak kira ianya penduduk awam, orang tua, wanita mahupun kanak² kecil yang baru belajar merangkak. Kononnya tidak disengajai dan sasaran yang dituju tersasar. Tapi sesungguhnya Allah Maha Adil. Balik² dari Iraq dulu, ramai jugak tentera Amerika yang memenuhi list pengebumian ketenteraan akibat membunuh diri sepulangnya dari sana. Untuk tentera yahudi Israel-zionis pula saya ucapkan....wallahu 'alam. Allah itu Maha Adil dan Maha Sempurna dalam perhitunganNya. Tiada suatu pun yang terlepas dari pandangan Allah Azza Wa Jalla. Kita sesama umat Islam berusaha, bersatu dan bersabarlah. Berdoa.