Angka kematian semakin meningkat. Angkuh dengan sokongan Amerika Syarikat, rejim zionis hanya akan menghentikan kekejamannya apabila Bandar-bandar selatan Israel aman daripada bedilan roket Hamas. Persekitaran Gaza City menjadi medan pertempuran sengit, manakala terowong bawah tanah, beberapa bangunan utama dan masjid ranap terkena bedilan.
ISRAEL ENGGAN BERHENTI
Tentera Israel berdepan tentangan sengit pejuang Hamas di Shajaieyah, pinggir Gaza City. Walaupun pihak rejim mendakwa ramai anggota Hamas terkorban, kenyataan itu sukar dipastikan. Menurut agensi Berita AP, pemeriksaan ke atas Hospital Shifa’ yang terbesar di Gaza, tiada satu pun mayat anggota Hamas ditemui. Yang pasti saban ketika seperti mana hospital lain, hanya orang awam dibawa masuk untuk rawatan, selain mayat.
Penduduk Palestin mendakwa serangan tentera rejim meningkat awal pagi dengan bedilan melangkaui kawasan awam, sekitar Gaza City serta kem pelarian di Jabalia. Selain mengakibatkan kematian, tentera rejim juga dikata telah menawan warga Palestin yang didakwa adalah anggota Hamas. Semua tahanan dibawa ke Israel untuk soal siasat.
SUSPEK PEJUANG HAMAS DITANGKAP ?
Israel dalam pada itu mendakwa berjaya menangkap 80 lelaki dipercayai pejuang Hamas dalam operasinya di Gaza. Stesen televisyen Israel, Channel 10 melaporkan seorang lelaki dipercayai anggota Hamas ditangkap dan ditutup matanya. Namun, tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihan laporan yang disiarkan stesen berkenaan.
Visual menunjukkan askar Israel mengiringi lelaki terbabit dan memakai topi serta matanya ditutup. Menurut Channel 10, dia dibawa ke Hospital Saroka di Beershiba, Bandar selatan Israel bagi mendapatkan rawatan. Menurut pegawai tentera Israel, 80 lelaki dipercayai anggota Hamas kini dipindahkan ke Israel untuk disoal siasat.
TIADA TEMPAT SELAMAT
27 DISEMBER, catatan permulaan operasi ganyang Israel ke atas Gaza. Bermula detik itu jugalah nyawa orang awam Palestin begitu murah dan di hari ke sebelas, angka korban dengan pantas meningkat kepada 558 orang. Berdasarkan laporan agensi Berita Ramattan, 112 daripada mangsa korban kanak-kanak, manakala 54 lagi wanita.
Apa jua alasan Israel, biarpun bangunan kerajaan dan pos keselamatan menjadi sasaran, penduduk Palestin di kawasan kediaman awam tetap menjadi mangsa. Semalam sahaja, tiga keluarga terbunuh semuanya apabila serangan udara tentera Israel menghujani pelbagai lokasi Semenanjung Gaza. Sembilan anggota keluarga (..) maut setelah tidak mampu mempertahankan diri dari bedilan di Beit Zaitun, timur Gaza. Situasi sama menimpa keluarga (..) di Beit Shajaieyah, pinggir Gaza City, menyaksikan si ibu yang sarat mengandung bersama empat anaknya terkorban. Di Beit Hainun, tiga kanak-kanak serta kedua-dua ibubapa mereka rebah bersimbah darah di dalam rumah sendiri.
“Kami di pihak Arab, berpendapat apa yang berlaku di Gaza, adalah terang-terangan satu penghancuran ke atas penduduk Gaza. Ia bukan soal Hamas, kerana 40 peratus daripada pemusnahan membabitkan orang awam, kanak-kanak perempuan dan lelaki serta warga tua dan wanita. Ia tiada henti. Situasi ini harus dikutuk.”
- Amr Moussa, Setiausaha Agung Liga Arab.
Hakikatnya, mampukah kecaman seperti disuarakan orang penting Liga Arab itu mengubah nasib masyarakat Palestin? Sejauh mana kata-kata nista sedemikian boleh ditransformasikan kepada tindakan? Sedangkan jiran serantau dilihat acuh tidak acuh dalam memperjuangkan nasib yang menimpa Palestin selama ini. Apakah kemungkinan kebangkitan Hamas di Asia Barat membuat Negara di wilayah berkenaan tidak senang duduk lalu ia dianggap sebagai masalah domestik Palestin.
----------------------------------------------
Analisis luar negara bersama wartawan, Muhammad Yasir Mansur:
Januari 2006, Hamas menang dalam pilihan raya Palestin, paling bebas mengikut proses demokrasi. Namun pertubuhan yang diasaskan pada 1987 oleh Syeikh Ahmad Yassin itu rupanya tidak disenang banyak Negara Arab kerana fahaman Hamas yang lebih Islam dan menunjukkan sentiment anti-Israel. Kebangkitan Hamas juga dianggap boleh menggugat kewujudan rejim yang memerintah Arab pada waktu ini, sebagaimana pemerintahan junta seperti di Mesir dan Syria, atau monarki di kebanyakan negara Teluk, seperti Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu. Justeru, apa yang berlaku kini dilihat penganalisis, sengaja dibiarkan oleh Negara Arab kerana bagi mereka Hamas bukan sebahagian daripada Negara Arab.
“Dan sejarahnya berlakunya penindasan yang kejam ke atas kebangkitan Islam masih berlaku di Syria 1982, berlaku di Mesir 1980-an, berlaku di Algeria 1991 dan sebagainya. Oleh sebab sebahagian besar Negara Arab pada hari ini, menurut sejarah bagaimana mereka terpaksa berdepan dengan kebangkitan Islam ini, yang dianggap sebagai ancaman. Oleh itu kebangkitan Hamas itu merupakan kebangkitan yang amat dicurigai, yang amat digeruni oleh sebahagian besar rejim-rejim Arab yang ada di dunia Arab pada waktu ini.”
- Mohammad Redzuan Othman, Penganalisis Asia Barat (Pakar Timur Tengah)
22 negara Arab yang menganggotai Liga Arab juga rata-rata mereka terhutang budi dengan Barat, sama ada dari segi kewangan atau bentuk sokongan lain. Justeru, dalam aspek ini sukar membayangkan Negara terbabit bersedia menentang Israel yang memang diketahui umum sekutu kuat Amerika Syarikat.
“Di Negara Arab hari ini, tidak wujud sebuah kerajaan pun yang wujud sebagai sebuah kerajaan yang dilantik oleh rakyat, atau pun sebuah kerajaan demokrasi. Negara-negara monarki yang terdapat pada hari ini, baik Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Kuwait dan sebagainya ke semuanya itu sebenarnya bertahan kerana mereka itu didukung oleh Barat. Manakala rejim-rejim yang lain, mereka wujud kerana disokong oleh tentera seperti Mesir, Syria dan sebagainya.”
-Mohammad Redzuan Othman, Penganalisis Asia Barat (Pakar Timur Tengah)
Negara Arab juga tidak terlepas daripada menerima bantuan dari Barat.
“Sebahagian besar bantuan ekonomi ini bukan digunakan untuk membantu untuk membangunkan rakyat, tetapi banyak digunakan untuk tujuan-tujuan pertahanan dan juga perisikan. Ada yang sama juga di kalangan Negara-negara Arab, tetapi selepas berakhirnya Perang Teluk yang pertama, Mesir dan Negara-negara Teluk konservatif yang lain, menerima bantuan Amerika Syarikat. Oleh itu, mereka ini sebenarnya merupakan Negara-negara yang akan berterusan berada di telunjuk Barat atau di telunjuk Amerika Syarikat."
-Mohammad Redzuan Othman, Penganalisis Asia Barat (Pakar Timur Tengah)
------------------------------------------------------------------------------------------
Media Prima Berhad (MPB), the leading integrated media investment group in Malaysia, has lent its support to its associate, the New Straits Times (M) Berhad in raising funds to aid Palestinians affected by the attacks on Gaza.
Media Prima Berhad dalam pada itu menyokong usaha syarikat bersekutunya New Straits Times Press mengumpul dana membantu rakyat Palestin. Pengerusinya Datuk Mutalib Mohd Razak menggesa orang ramai dan syarikat korporat memberikan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan itu. Katanya Media Prima menerusi rangkaian TVnya akan terus membawakan perkembangan semasa keadaan di Gaza. Sumbangan boleh dibuat sama ada melalui ‘bank-in’ atau pindahan wang ke akaun tertera atau hantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Berhad dengan menulis “Dana Untuk Gaza” di belakang cek, dan alamatnya ke Pejabat NSTP, Jalan Riong, Bangsar. Sumbangan kepada tabung itu akan dibuka sehingga 7 Februari 2009, sebelum diserahkan kepada Wisma Putra untuk disalurkan ke Gaza.
TABUNG KEMANUSIAAN GAZA
AKAUN MAYBANK: 514105320501
Atas nama “NSTP Dana Untuk Gaza”
Hantar cek ke:
NSTP
31, Jalan Riong
59100 Bangsar
Kuala Lumpur.
Tel: 03-2282 3322
-----------------------------------------------------------------------------------------
BOIKOT BARANGAN AMERIKA SYARIKAT DAN YAHUDI
Lebih 150 produk dikenalpasti oleh gandingan beberapa badan bukan kerajaan ini.
“Pelanggaran hak asasi manusia sudah berlaku di depan mata kita, dengan jelas...”
- Azril Mohd Amin, Naib Presiden Antarabangsa ABIM
Kempen boikot akan dilancar Jumaat ini (9 Januari), selepas solat Jumaat dan solat Hajat di perkarangan Masjid Negara.
Sumber: Buletin Utama, 6 Januari