CARILAH ILMU
“Ilmu, ertinya ialah pengetahuan dan dengan perantaraan ilmu itu pulalah dapat dimaklumi serta diketahui segala perkara yang perlu dikaji, menurut keperluan masing-masing. Misalnya seseorang yang ingin maju dagangannya, pastilah ia belajar ilmu dagang dan selok-belok perdagangan (perniagaan), orang yang ingin mengerti jalannya matahari, bulan, bumi dan lain-lain sebagainya, pastilah mempelajari ilmu falak, orang yang dapat mengobati orang-orang sakit, haruslah belajar ilmu kedoktoran, demikian seterusnya. Ada pun orang yang ingin mengerti isi agama Islam, agar dapat berma’rifat kepada Allah Taala dan dapat diterima ibadatnya, maka wajiblah ia belajar ilmu Tauhid dan Fiqih. Begitu pula orang yang berdaya upaya hendak mensucikan diri dari berbagai penyakit yang hinggap dalam hati, maka wajiblah belajar ilmu Tasawuf, kemudian mengamalkannya dengan sungguh-sungguh. Mana saja amalan yang tidak disertai dengan ilmu pengetahuan, kejadiannya pasti tidak baik. Lebih-lebih amal perbuatan yang berhubung dengan ibadat atau apa saja yang bertalian erat dengan persoalan-persoalan agama.”
- M. Abdai Rathomy, Ilmu (1986)
------------------------------------------------------------------------------------------
ILMU PENGETAHUAN
BEBERAPA AYAT YANG BERHUBUNG DENGAN ILMU PENGETAHUAN.
Ayat-ayat yang menyuruh menuntut bermacam-macam ilmu pengetahuan yang berkenaan dengan alam (bumi, langit dan apa-apa yang di dalamnya dan di atasnya).
-------------------
SURAH YUNUS: Ayat 101
“Katakanlah: Perhatikanlah apa-apa yang di langit dan di bumi, tetapi tidak bermanfaat keterangan dan peringatan bagi kaum yang tiada beriman.”
Keterangan ayat 101
Ayat ini menyuruh kita memperhatikan apa-apa yang di langit seperti bulan, matahari dan bintang-bintang. Gunanya supaya kita insaf dan mengetahui, bahawa yang menjadikannya Allah Yang Maha Kuasa. Begitu juga hendaklah perhatikan apa-apa yang di bumi, seperti tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan apa-apa yang tersimpan dalam tanah seperti emas, perak, batu arang, minyak tanah dan sebagainya.
Ringkasnya ayat ini menyuruh kita mempelajari bermacam-macam ilmu pengetahuan, umpamanya ilmu falak, ilmu tumbuh-tumbuhan, ilmu haiwan, ilmu alam, kimia dan sebagainya. Kerana dengan mempelajari ilmu-ilmu itu dapatlah kita memperhatikan apa-apa yang di bumi dan yang di langit, dengan perhatian yang luas secara ilmiah.
Oleh sebab itu, hendaklah diajarkan ilmu-ilmu itu dalam sekolah-sekolah agama, kerana itu bererti memperhatikan apa-apa yang di langit dan yang di bumi.
-------------------
SURAH AL-JATSIAH: Ayat 12-13
“Allah yang menundukkan laut untukmu, supaya kapal belayar di sana dengan izinNya dan supaya kamu mencari kurniaNya (rezekiNya) dan mudah-mudahan kamu berterima kasih (kepadaNya).” (ayat 12)
“Dia menundukkan untukmu apa-apa yang di langit dan di bumi semuanya, (sebagai kurnia) daripadaNya. Sungguh pada demikian itu beberapa ayat (keterangan) bagi kaum yang berfikir.” (ayat 13)
-------------------
SURAH LUQMAN: Ayat 20
“Tiadakah kamu perhatikan, bahawa Allah menundukkan (memudahkan) untukmu apa-apa yang di langit dan apa-apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-nikmatNya lahir dan batin. Diantara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu, tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang terang.”
-------------------
SURAH FATHIR: Ayat 28
“Setengah manusia, binatang-binatang dan ternak-ternak ada pula bermacam-macam warnanya seperti tersebut itu. Hanya yang takut kepada Allah, ialah ulama-ulama di antara hamba-hambaNya. Sungguh Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Keterangan ayat 28
Sesungguhnya yang takut kepada Allah, hanya alim ulama yang mengetahui kebesaran Allah dan kekuasaanNya dengan dalil-dalil tersebut. Di sini dinyatakan, bahawa yang takut kepada Allah, ialah ulama yang mengetahui bagaimana sunatullah (peraturan Allah) tentang kejadian manusia, haiwan ternak dan tumbuh-tumbuhan yang berjenis-jenis dan bermacam-macam itu. Bertambah tinggi ilmu mereka tentang kejadian alam yang dijadikan Allah, bertambah takut mereka kepada Allah.
Berlainan dengan setengah orang; bila bertambah ilmunya, bertambah ingkarnya kepada Allah. Tak ubah seperti orang yang hanya mengetahui alat-alat arloji (..) serta pandai memperbaikinya, lalu ia sombong dan lupa kepada orang yang pandai membikin(membuat) arloji(..) itu.
-------------------
SURAH AZ-ZUMAR: Ayat 9
“Adakah orang yang ta’at (patuh mengikut Allah) pada waktu malam, seraya sujud dan berdiri, lagi takut akan (siksa) akhirat, serta mengharapkan rahmat Tuhannya (sama dengan orang yang durhaka)? Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan)? (Tentu tidak). Hanya yang menerima peringatan ialah orang-orang yang berakal.”
Keterangan ayat 9
Samakah orang yang ta’at dengan orang yang durhaka? Samakah orang yang berilmu dengan orang dungu? Tentu tidak sama. Adapun yang dimaksudkan dengan ilmu di sini, bukanlah ilmu perkara sembahyang, puasa(ibadat) saja, melainkan terkandung olehnya semua macam ilmu pengetahuan yang berfaedah untuk dunia dan akhirat, seperti ilmu alam, ilmu bumi dan sebagainya. Sekarang Nampak benar perbedaan orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Maka kapal terbang, kapal selam, bercakap-cakap antara timur dan barat dengan radio, mendirikan bermacam-macam fabrik, semuanya itu ialah berkatnya ilmu pengetahuan. Orang yang dungu tentu akan menggelengkan kepala saja, kerana ta’ajub melihat keganjilan yang banyak itu.
Oleh sebab itu, mestilah kita menuntut ilmu pengetahuan, meskipun sampai ke Eropah atau Jepun. Nabi Muhammad SAW ada bersabda:
“Tuntutlah ilmu itu mulai dari dalam buaian (waktu kanak-kanak), sampai ke dalam lahad (kubur).”
--------------------
Ada pun menuntut ilmu itu ada dua macam:
a. Menuntut ilmu di sekolah dengan perantaraan guru, iaitu sekolah bangku (persekolahan) namanya, maka ia kewajipan kanak-kanak, sekurang-kurangnya di sekolah rendah, dan orang-orang yang berkesanggupan dan berotak tajam hendaklah sampai ke sekolah tinggi, umpamanya: Sekolah doktor (perubatan), sekolah insinyur (kejuruteraan), sekolah hukum (perundangan), sekolah pertanian, perniagaan, pertukangan dan sebagainya iaitu menurut kemahuannya masing-masing.
b. Menuntut ilmu dengan sendirinya saja, iaitu kewajipan tiap-tiap orang, mulai dari keluar sekolah sampai meninggal dunia. Maka tiap-tiap kita hendaklah belajar bermacam-macam ilmu pengetahuan, dengan perantaraan buku-buku, surat-surat khabar, majalah-majalah dan dengan pergaulan dan pengalaman.
Orang yang tidak mau belajar dengan sendirinya akan tertinggallah di belakang dan tidak dapat nanti menempuh masyarakat baru, kerana dunia sekarang selalu berputar dan berubah-ubah. Kaum guru, doktor, insinyur (jurutera), meester (..) dan lain-lainnya akan tertinggal di belakang, jika tidak mau berstudi(belajar) dan menambah pengetahuannya, kerana tiap-tiap ilmu itu selalu bertambah-tambah dan professor-profesor selalu mengeluarkan pendapat baru.
Selain daripada itu, orang jangan lupa mempelajari ilmu agama Islam, yang amat sesuai dengan masyarakat dunia sekarang. Apa tidakkah sabda Nabi Muhammad SAW yang menyuruh menuntut ilmu itu, suatu bukti atas agama Islam, sebagai suatu agama yang menyuruh berkemajuan?
Sumber:
Buku Tafsir Quran Karim, Prof. Dr. H. Mahmud Yunus